Saturday, 7 August 2010
Alhamdulillah, Syaaban sudah hampir sampai ke penghujung, Allah masih lagi sayangkan kita serta diberi peluang untuk bertaubat dan beribadat sebelum dipanggil mengadapNya. Ramadhan kembali lagi. Adakah kita sedar ataupun masih lagi lena dan leka dengan kehidupan kita seharian. Ramai orang yang tidak rasa apa-apa pun dengan ketibaan bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini. Tidak seperti bulan Syawal yang ketibaannya disambut dengan penuh meriah dan sudah ada yang membuat persiapan untuk menyambutnya walaupun Ramadhan belum lagi tiba. Bagaimana dengan Ramadhan yang lepas. Adakah kita masih lagi istiqomah dalam solat jemaah sebagaimana yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan tersebut. Adakah puasa sunat menjadi amalan sebagaimana yang diazamkan selepas saja Ramadhan berakhir. Muhasabahlah diri kita apakah yang telah kita lakukan sebaik saja Ramadhan berakhir tahun lepas. Diri kita ini kadang-kadang hipokrit, hanya dibulan ramadhan sahaja kita rajin beribadat kepada Allah. Solat malam kita lakukan dibulan ini. Untuk tujuan apakah kita lakukan? Adakah untuk mendapat pahala yang sebanyak mungkin dari Allah, bagaimana jika Allah tak memberikan pahala adakah kita akan melakukannya? Adakah kita lakukan hanya semata mata untuk mendapat atau mencari malam yang lailatulqadar? Bagaimana kalau kita tidak mendapatnya, adakah amalan kita itu sia-sia? Tanya dan muhasabahlah diri sendiri. Sekiranya kita beribadat semata mata untuk mendapatkan balasan samalah kita ini seperti seorang pekerja yang bekerja hanya untuk mendapatkan gaji setiap hari atau bulan. Tapi tujuan kita beribadat adalah lebih dari itu kerana kita ini adalah hamba. Adakah seorang hamba yang berkhidmat kepada tuan nya itu mengharapkan apa-apa balasan? Sudah tentu tidak. Terpulanglah kepada tuan itu apakah upah atau balasan yang sepatutnya diberikan.Tetapi hamba itu mestilah taat dalam melakukan apa saja tugas yang diberikan tanpa mempersoalkan samada tugas itu berat ataupun tidak. Beribadatlah kepada Allah dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan kerana itulah tugas kita di dunia ini. sentiasalah berdoa semoga Allah memberi kita kekuatan dalam melawan nafsu dan syaitan yang sentiasa cuba menghalang kita dari menjadi hamba Allah yang soleh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment